UTUSAN 1999 : Misteri Kematian Dua Pelajar di Puncak Korbu

IPOH 26 Mei - Misteri kematian dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di puncak Gunung Korbu dekat sini semalam terjawab hari ini selepas laporan awal bedah siasat mendapati mereka mungkin meninggal dunia kerana keracunan gas.

Gas berkenaan - yang dikatakan sama seperti gas untuk kegunaan memasak - dinyalakan oleh mangsa, Rohan Seri Harith Nair, 23, dan Nur Zahari Harun, 22, sebagai lampu tidur dalam khemah.
Gas berkenaan bocor tanpa disedari menyebabkan mereka yang tidur dalam khemah yang tertutup lemas apabila terhidu gas itu dalam tempoh yang lama.

Pakar Forensik Patologi Hospital Ipoh, Dr. Khairul Azman Ibrahim ketika ditemui berkata, siasatan mendapati badan kedua-dua mangsa tidak mempunyai kesan kecederaan disebabkan perbuatan jenayah.
''Unsur-unsur racun tidak dapat ditolak dalam menyebabkan kematian kedua-dua mangsa,'' katanya.
Setelah memeriksa mayat berkenaan, beliau juga mendapati terdapat kesan lebam berwarna merah pada badan kedua-dua mayat termasuk pada bahagian tangan.

Menurut Dr. Khairul, Rohan dan Nur Zahari meninggal dunia di antara tempoh empat hingga lapan jam dari masa ditemui. Menurut laporan, kedua-dua pelajar yang mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Korbu dekat sini disahkan mati setelah tiba di Hospital Ipoh petang semalam.

Mereka dibawa turun dari puncak gunung itu ke hospital menggunakan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Kedua-dua pelajar itu tiba terlebih dahulu di puncak gunung itu kira-kira pukul 8 malam kelmarin, meninggalkan 12 rakan ekspedisi yang lain.
Mereka kemudian tidur tetapi apabila dikejutkan pada sebelah pagi oleh rakan-rakan, kedua-duanya didapati telah kaku.

Seorang rakan mereka menggunakan telefon bimbit untuk meminta bantuan kecemasan.
Menurut Dr. Khairul, maklumat terperinci mengenai kematian dua remaja itu akan diketahui apabila laporan lengkap bedah siasat disiapkan dalam tempoh terdekat ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinta, Asisten Komisioner Ghazali Ismail berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mendaki Gunung Korbu pada masa ini kerana musim hujan.
Menurut Ghazali, mereka yang ingin mendaki gunung perlu mendapatkan nasihat dari mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kes Gunung Korbu, mereka perlu menghubungi Balai Polis Tanjung Rambutan.
Kumpulan ekspedisi yang mendaki gunung tersebut kelmarin dilaporkan tidak memaklumkan kepada polis atau Jabatan Perhutanan mengenai aktiviti mereka.
Jurucakap Balai Polis Tanjung Rambutan ketika ditemui mengesahkan mereka tidak mendapat laporan daripada pelajar-pelajar itu.

Jurucakap Jabatan Perhutanan yang bertugas di Hutan Lipur Hulu Kinta berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada kumpulan ekspedisi itu untuk mendaki gunung tersebut.
Tinjauan Utusan di kawasan itu mendapati Jabatan Perhutanan Negeri ada memasang notis mengingatkan orang ramai supaya terlebih dahulu mendapat kebenaran jabatan itu sebelum mendaki Gunung Korbu.
Mengikut notis itu, mereka yang gagal berbuat demikian boleh didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali.

RUJUKAN 
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_04.htm