THE NORTH TITIWANGSA (TNT Center 2017)

Banjaran Titiwangsa Utara - Bahagian Tengah

DINGIN SAMPAI KE TULANG
"tap....tap....tap...." perlahan ia menitis, memberi petanda ia masih akur dengan perintah Tuhannya dengan membasahi seluruh alam. Flysheet yang belum sempat kering terus menanggung beban mengendur sekali-sekala dek kerana kolam yang sedikit memberi manfaat kepada penghuninya membasuh alatan masak. Semakin lama, kedinginan mula menyucuk hingga rasa ke tulang, aku teruskan tugasan tanpa peduli semua itu walau hujan semakin meriah diluar. Masak bukanlah kepakaran aku, cuma sekadar mengisi masa untuk memanaskan badan. Angin sesekali menghembus disetiap pelusuk ruang pohon bonsai berlumut yang membawa titisan gerimis menambahkan lagi kedinginan. Makan malam hari ini, Nasi Briyani berlauk Kurma Daging dan Kobis Goreng Kunyit ditemani Teh Lemon Ros jenama 888 cap tupai cukup membuat perut terisi walaupun sedikit seorang. Telatah mereka yang berebut menghabiskan nasi sedikit sebanyak menghiburkan aku. Tepat jam 1 pagi, yang lain mula membungkus dalam sleeping bag, ketika ini, kami berada di Kem Macha, yang aku gelarkan sendiri, atau lebih tepatnya puncak tipu ke-5 sebelum ke puncak sebenar Gunung Chamah. Aku turut mengambil bahagian, sedaya upaya cuba untuk melelapkan diri dalam kedinginan, malam yang terasa panjang ini membuat aku terimbau disaat punca kewujudan aku disini.

Imbas kembali...

RABU 20 DISEMBER 2017
Senarai nama telah aku siapkan, setelah meneliti kehadiran, walau sedikit kecewa dengan segelintir yang "lipat" disaat akhir, aku pasrah dengan jumlah 8 orang termasuk aku. Kos ketidakhadiran 5 orang itu aku anggap sebagai kifarah untuk aku yang mungkin pernah buat salah ketika dulu. Manakan nak disalah orang yang tiada jodoh dan rezeki untuk bersama kita, mungkin masalah kewangan, keluarga, temujanji, kerjaya mahupun sengaja. Menu telahpun dilakar dalam peta mindaku, namun belum masanya untuk membeli. Malam ini, harus aku siapkan seragam hitam bagi peserta trip ini. Setiap hujung tahun adalah pilihan aku membawa nama S.O.S ke lokasi-lokasi menarik, The North Titiwangsa, atau Banjaran Titiwangsa Utara mendapat namanya ketika aku meneliti topografi dan GPS pada awal 2015 dulu lantas menjadi impian yang mahu aku nyatakan kali ini. Minggu lepas aku telah mencipta rekabentuk yang sesuai pada baju, peta laluan di belakang baju? ah! itu terlalu klise, kali ini aku cuma fokus pada nama gunung dan ketinggiannya serta nama pemilik baju menggantikan helaian sijil yang terlalu ortodoks. Keesokkannya tugas membeli bahan masakan mengikut menu yang telah aku rancang. Ternyata semua rencana menu gagal setelah berada di depan rak rak jualan bila otak kiri mula aktif menukar-nukar menu setelah membelek produk-produk baru. Aku "blank" sekejap namun bertuah bila adanya Adiza yang menghulur sedikit idea segeranya. Bahan menu siap dibeli, siap disusun dilaman rumah, siap dibahagi rata. Maka tugasan seterusnya adalah peralatan peribadi aku.


MENUJU MATLAMAT
Hari terkhir persiapan, Jumaat, aku terima seorang lagi peserta yang meringankan sedikit beban kewanganku. Zira yang pernah bersama aku sebelum ini di CBL pada 2016, diperkukuhkan lagi dengan cadangan dari Adiza sendiri untuk membawanya. Seusai solat jumaat, aku terus menyusun dan membungkus bahan makanan dan beg pendakian aku. Azrah muncul dalam deringan telefonku pada 5.27pm, oh ya! dia dan Eypa sudahpun berada di laman rumahku, barulah aku teringat dimana peserta lain? group whatsapp TNT2017 aku periksa, ternyata ada yang masih dalam perjalanan. Den masih menunggu Vassan di KL, Hasan menunggu Faizal, Zira dan Kechik di TBS, Poncho dan Ahmad dah pun berada di Gua Musang. Jam 8.30 malam, Den tiba dirumah, beg dan bahan ration dimuat ke dalam bucket Ford Ranger miliknya, sempat juga dia tayang pada aku set winch baru yang dipasangnya kelmarin, ada-ada saja si Den ni, aku layan sebab kebetulan minatnya sama dengan aku dalam dunia 4X4, abang kepada rakan sekelasku ini memang "kamcing" denganku, apa saja yang aku minat dia pun minat, yang paling penting dia seorang shabat yang boleh diharap. Azrah dan Eypa menumpang sekali menjadikan kami berlima menuju ke meetpoint seterusnya di RnR Benta.

SEKETIKA
Malam yang agak sibuk tu membuat aku sedikit lapar, di RnR Benta sambil menunggu Hassan dan yang lain, Azrah bungkuskan aku sebiji burger bakar, seolah-olah faham apa yang terlintas difikiranku. Toyota Vios bewarna Dark Silver muncul dengan kelibat 4 orang pendaki, Ya! itu Hassan, Faizal, Kechik dan Zira. Kesempatan yang ada diambil untuk bergurau senda setelah lama tidak bersua muka. Kesemua kami 9 orang menuju ke Masjid Gua Musang bagi destinasi seterusnya iaitu mengambil Poncho dan Ahmad.

PONCHO
Sepanjang perjalanan, hujan masih turun, sekali sekala aku temankan Den berbual selaku co-pilot, anak dara 3 orang dibelakang dibuai mimpi setelah puas bergosip. Di masjid, kami mengambil Poncho dan Ahmad yang telah sampai awal petang tadi dengan bas dari JB. Saudara Zulkifli atau nama gelaran Poncho tidak asing lagi dikalangan pendaki, perkenalan aku dengan beliau sejak tahun 2007 menjadikan aku lebih percaya kepada sahabatku ini untuk guide kumpulan aku ke TNT tahun ini walaupun kerjaya aku sama dengan beliau, ilmu dan pengalaman yang dimilikinya amat luas jauh dari aku, kagum dan aku masih terasa kerdil jauh nak dibandingkan dengan dia, mungkin suatu saat nanti aku akan jadi lagenda seperti beliau jika impian ini diberi Izin-Nya. Laporan Polis selesai dibuat, kami berderu ke Masjid Kuala Betis meredah hujan selama hampir 35 minit.
11 tahun yang lalu.

BEKALAN
Agihan ration dah dibuat, setiap peserta dibekalkan beg bertulis nama masing-masing supaya mudah untuk aku mengecamnya nanti sewaktu memasak. Seusai solat subuh, kami berkenalan dan diberi penerangan ringkas dari Poncho sebelum menaiki 4X4 milik Heri. Rancangan asal pendakian 8 hari 7 malam ini adalah melalui Pos Gob mendaki Gunung Shoid dahulu kemudian di akhiri Gunung Bilah turun di sebelah Pos Dakoh, namun atas nasihat Poncho, trip di"hijack" menjadi reverse, namun matlamat tetap sama. Tiada masalah, kami letak kepercayaan kami kepada yang pakar. Kemudian kami mencari sesuap sarapan di pekan. Kereta disimpan di rumah Abang Joe yang terletak di belakang Masjid.


KUALA BETIS, GUA MUSANG
Ini makanan terakhirku sebelum masuk ke hutan, maksudku makanan yang dibeli siap, selepas itu, aku harus masak sendiri selama pendakian. Sambil berbual, ada yang mencari makanan tambahan di kedai runcit dan membungkus lauk makan tengahari di sekitar pekan kecil Kuala Betis yang terkenal dikalangan pendaki, pemandu 4X4 dan pelancong.  Mana tidaknya, disinilah terletaknya kedai dan sumber keperluan asas terdekat bagi penduduk asli pedalaman, terakhir bagi "pelancong" yang mahu masuk ke pedalaman, maka ia menjadi Pusat Keperluan, selain dari itu hanya Pekan Gua Musang yang ada berjarak lebih 20km jauhnya. "Pelancong" yang wujud disini termasuklah dari aktiviti khidmat masyarakat, sukan permotoran, khidmat kesihatan, lawatan orang besar, aktiviti gua, arkeologi, perniagaan hasil kebun dan juga aktiviti pendakian iaitu kami.



POWER OF NAPS
Melihatkan driver 4X4 belum hadir, aku terbaring sebentar didalam masjid melelapkan diri, manakan daya berjaga seharian menyiapkan persiapan pendakian sejak dari Rabu kurang tidur, itulah sebabnya kalau menjadi seorang organiser, pengorbanan besar dia bukan wang, tapi masa, ia lebih berharga dari emas al-rajhi. "Kay....Kay....Kay..." sayup terdengar suara yang memanggil lembut, "Kay!!!" bingkas terbangun aku dari lena yang seketika, seruan keras itu datang dari Faizal yang tercegat di luar masjid. Dari riak wajah berjambangnya dengan lenggok badan sedikit gempal, aku dapat meneka yang 4X4 dah pun sampai menjemput kami.

TARIAN TAK SENGAJA
Bermula dari jalan tar membawa ke jalan tanah merah sejauh 70km lebih, melalui beberapa ladang sawit dan matau balak, ada yang masih aktif ada yang dah pun ditinggalkan, sesetengah ladang getah turut menumpang melengkapkan kerakusan nafsu, dikejauhan terlihat bukit-bukit gondol ditarah berbaris-baris bagai kepala dan rambut artis Reshmonu, terdetik dihati masing-masing, apakah kapitalis yang wujud ini memberi manfaat kepada kita, alam atau hanya mereka sendiri, hanya mata yang melihat saja yang mengerti dan terus mencintai alam hijau ini. 4X4 yang tadi berkelajuan 30-40km/j kini mula turun ke 20-30km/j setelah memasuki beberapa laluan balak lama yang tidak lagi menyumbang keuntungan, hanya berharap kepada volunteer atau orang tempatan yang membaiki jalan sehingga ke Perkampungan Pos Hau. Kemudian kami terus menari melalui jalan balak rosak dengan longkang, batu, batang kayu dan lopak air yang menggoncang sistem suspensi kenderaan pacuan 4 roda ini, bertuah kami kerana cuaca baik menyebelahi kami sehinggalah ke perkampungan orang asli Pos Dakoh setelah melintasi Pos Balar. Masih segar diingatanku misi bantuan bersama Imaret suatu ketika dulu, membawa doktor ke perkampungan ni, suasana yang damai dan sungai yang jernih membuat ingatan aku segar setibanya disini.


BISMILLAH
Selesai makan tengahari, sedikit ucapan pembukaan aku beri sambil memperkenalkan semula peserta yang hadir, 11 orang termasuk peserta dan guide. Poncho juga turun memberi penerangan perjalanan selaku guide. Ahmad sebagai pembantunya berada di posisi belakang. Doa dibaca, dalam hujan renyai perjalanan bermula dari laluan balak tinggal yang hanya bisa dilalui dengan motorsikal sahaja, sehinggalah memasuki kawasan resam dan semak hutan walau masih kekal di laluan balak lama menurut peta topo. Beg berat dihari pertama adalah perkara biasa. Perjalanan landai selama 3 jam membawa kami ke Kem Tanpa Nama, sumber air sebelah kem memudahkan kami mengurus masakan, cucian, mandian dan melepaskan hajat. Kawasan kem agak berlumpur disebabkan kekerapan hujan sebelah petang dan kesan baru ditinggalkan oleh skuad camera trap, kami memilih kawasan sedikit rata memanjang, namun memerlukan sedikit ubahsuai. Aku sedikit lega bila peserta lelaki semua tahu peranan masing-masing, parang bertugas, ubat nyamuk pun tegas menghalau agas.





HARI KEDUA
Pagi ini sarapan nasi goreng beserta air kopi indocafe, jam 10 pagi kami mula mendaki setelah selesai berkemas. Jalan landai melintasi Kem Rata Air dan Kem Marigold, kemudian sedikit mencuram melalui beberapa anak sungai, sedang leka bergurau senda Faizal yang bergaya seorang pendaki elit tergelincir ke dalam sungai lantas berbasahan, ketawa adalah pembukaan sebelum tangan dihulur membantu. Faizal ni kelakar orangnya, aku kenal rapat dengannya sewaktu di Trans Titiwangsa V1 dulu, anak bongsu tauke Nasi Ayam Fuziah ni seorang yang pandai berdikari, usia yang muda beliau telah menjelajah keluar negara mencari kerja-kerja buruh. Kami berjalan sehingga di tepi sungai yg agak cantik, dan memilih untuk makan tengahari disitu sambil mandi setelah tahu tiada lagi sungai selepas hari ni sehingga hari ke-3. Seterusnya melintasi Kem Buluh yang memacak sedikit antara 50-60 degree hingga ke Kem Merbau selama 1 jam.




HUHUHU
Kem HuHuHu dilintas setelah mendaki pacak, lutut sudahpun bertemu muka, kami rehat dan bergambar seketika, seterusnya menghadap 4 jam perjalanan ke simpang Gunung Bilah. Trek yang mencabar jiwa dan raga, kalau tadi lutut bertemu muka, kali ni menembus ke otak, pacak...pacak...dan pacak...Alhamdulillah, puncak pertama digapai walaupun hari sudah gelap, ketinggian 6,812 kaki Gunung Bilah tidak menjadi penghalang buat Ahmad dan Zira yang tiba lewat sedikit memandangkan Zira mengalami masalah wanita. Bagi Azrah dan Eypa, mereka nampak lega setelah gunung yang pernah mereka gagal naik suatu ketika dulu dapat dicapai malam ni, Faizal, Hassan, Kechik, Vassan dan Den tidak ketinggalan merakamkan memori bersama, Aku dan Poncho melayan telatah gembira mereka, lebih kurang jam 9.30 malam kami tiba, kesejukan akibat angin dan faktor ketinggian membuatkan kami tidak menunggu lama, terus ke Kem Water Point Bilah 20 minit dari puncak.




LENA DIBUAI AGAS
Kem yang berpaya itu membuatkan kami terpecah tiga malam itu, 5 orang di atas, 5 orang dibawah, seorang di tengah-tengah, kami berhempas pulas membuka ruang baru dengan berbekalkan baki tenaga yang ada, makan malam telahpun aku sajikan, kami lelap awal berdodoikan agas hingga terpaksa menyalakan ubat nyamuk 4 penjuru. Si Vassan agak nyenyak di dalam khemah single men selepas makan masakan india-nya, kami yang lain di bawah open fly sheet. Sempat aku berbual dengan Den sebelum dia lelap, sambil aku menyusun semula menu. Malam berlalu dingin.

BIEH NAN INDAH
Sarapan ringkas, roti bakar dan sosej membuatkan kami lekas bersiap, walau cuaca masih mendung sekali sekala angin menyapa membuatkan embun menjunam menyentuh tubuh yang telah sejuk diselaputi baju basah semalam. Hari ketiga bermula dengan 50 minit di ambil untuk mencapai ke simpang Gerah, kawasan berlumut yang amat unik dan terlalu cantik untuk disentuh, beg ditinggalkan dan kami menuju ke puncak, berbekalkan biskut kejayaan, kami melintasi Gunung Gerah dulu untuk ke Gunung Bieh, lalu saja buat-buat tak kenal Gerah lagi. Alhamdulillah Puncak Gunung Bieh ditawan selepas 1jam 40minit "daypack", puncaknya tidak terbuka, dari paras laut 6,800 kaki, permukaan lebar dan penuh dengan bonsai, suasana menghijau lumut tebal, pelbagai spesis lumut disekeliling puncak buat kami terleka dengan lensa, boleh dikatakan semua menjadi model majalah malah kalau dibandingkan dengan artis mungkin jauh lebih bagus.








GUNUNG GERAH
Selesai merai kejayaan dengan biskut Cream'O dan kacang Deqyang, 1jam 20minit diambil untuk menawan puncak ke-3 iaitu Gunung Gerah. Berketinggian 6,898 kaki gunung ini merupakan yang ke-11 tertinggi di Semenanjung Malaysia, berada di dalam kategori G7Eleven, mempunyai sebuah beirut yang masih kukuh, ada batu sempadan lama dan mempunyai kawasan melihat panorama, sayangnya cuaca mendung seolah-olah gerah menjemput kami kemari di lain hari, oh tidak! bak kata Azrah dan Eypa, mungkin cukuplah kali kedua mereka menjejak kaki disini. Gunung ini pernah direkodkan antara yang tersejuk di Malaysia, berada di kawasan laluan angin membuatkan gunung ini jarang ditiduri pendaki, walhal panorama terbit mentari adalah yang terbaik disini. Pulang ke pangkuan beg, kami makan tengahari nasi berlauk kari ikan mackarel yang dimasak bersama ubi kentang, berkawankan kicap jalen, memang meleleh.




BREK PAD PANAS
Menuruni permatang hingga ke Simpang Gerah False, kemudian ke Kem Sarsi selama 2 jam lebih, kaki mula terasa lega dek kerana elevation menurun, ditambah lagi trek melandai turun dari Kem Sarsi ke Kem Perodua selama 3 jam lebih, telapak kaki panas menahan, terasa longgar skru-skru lutut. Alhamdulillah sebelum gelap kami tiba, yang lelaki sudah pun tahu peranan, yang wanita diberi kelonggaran, Aku agak keletihan namun aku gagahkan jua demi perut kawan-kawan semua, tuah aku bila kaum hawa sudi membantu di dapur tanpa dipinta. Selesai mandi, aku siapkan pula nasi untuk pagi esok.


ANAK MUDA
"ayuh anak muda!!!" Seru si Ahmad dengan suara nyaring beliau, dah 4 hari kami lali dengan seruan ini, namun inilah yang memberi semangat dalam jiwa pendakian kami. Ahmad yang selaku sweeper sangat tabah, kadangkala si Vassan terkena tempias marahnya dek kerana gemar berjalan sendirian sambil mendengar lagu menerusi earphone, bahaya!
Kampung Agek dihuni oleh 1 keluarga kecil Pak Ude, 1 jam dari Kem Perodua, kemudian melalui kuala antara Sungai Temenggor dan Sungai Agek, kami berehat sebentar di Kem Agek, cuaca sedikit panas mungkin permulaan hari yang baik.



ANUGERAH BONGOK
Air di ambil bagi bekalan unt mendaki Bukit Bongok, setapak demi setapak menaik ke badan bukit, hati mula meneka, otak pula tertanya-tanya, maka akal pun berkata "dugaan ape kah ini!?" naik...naik....naik....dan naik lagi! rasanya lutut dah menembus ke belakang otak. "biar...apa terjadi, biarkanlah kutanggung sendiri...." nyanyi kami beramai-ramai tanda betapa bukit bongok ini mengundang pendakinya maut mental. Pendakian "vertical" yang panjang menjadikan bukit ini musuh ketat kami. Makan tengahari disegerakan dengan mee kari di puncak bongok, masing-masing kelaparan, yang paling nyata si Den dek kerana tak makan nasi, maka mee kari memang makanan dia. 30 Minit turun, kami berada di persimpangan dilemma, antara Gerah, Ulu Sepat atau keluar ke Kampung Lerlar, ideanya, kita tutup simpang Kampung Lerlar! Ya! ternyata berhasil, semua dipaksa teruskan misi ke Kem Lenweng iaitu kaki Gunung Ulu Sepat. Dalam perjalanan melintasi sungai sebelum kampung asli lenweng, tiba-tiba "bedebushhhh!!!" lutut kananku bertemu batu, siku dihempap beban beg dan buku lima tanganku di toreh pasir kasar, aku tersembam ke dalam sungai, separuh dari beg telah pun terendam, ibarat biskut dan kopi, kalau sudah dicicah takkan keras seperti sediakala. Aku gagahkan berdiri dalam derita yang sementara itu, ketawa?ini bukan gurauan, sakitnya bukan kepalang, aku cuba sembunyikan, berharap Ahmad yang melihatku simpankan rahsia ni. Asalnya mahu ke Kem Simpang US, tapi diracun kuat oleh Poncho, keselesaan kem ini memang tak boleh dipertikai, aku pun termakan, mungkin sedikit punca dari kecelakaan tadi, namun demi kesihatan berpanjangan peserta wanita dan si Vassan yang mula mengadu sakit kuku, aku mengambil kira faktor keseluruhan.




BANDAR BARU LENWENG 
Baik! kita "hijack" kem ini, 2 batang balak dihumban ke tepi, sebiji batu di gali dan ditanam semula supaya level nya sama rata, memang betul-betul gila semuanya, tak ada kerja cari kerja, tapi syabas! kaum Adam semua, kebaikannya berkekalan kepada kita dan group-group lain nanti. Malam yang indah itu berirama aliran Sungai Lenweng sebesar 15 kaki lebar, berbatuan besar dan jernih airnya di alir terus dari gunung Ulu Sepat, menyegarkan para perenangnya. Aku teruskan tugasan seperti biasa lepas mandi, namun belum sempat aku memegang pisau dan bawang, "ko relaxs Kay, malam ni kami settlekan lauk, menu khas dari Poncho, ko masak nasik jer" Azrah dengan selamba hijack kerusi parlimen aku, Eypa dan Zira turut bersubahat, jadi aku direhatkan demi setiakawan yang menebal, mereka seolah faham kondisi yang aku alami. Selesai solat, riuh sebentar bila Gula Nano telah di salahguna oleh Zira untuk membancuh teh, 1 sudu menyamai 2.5 sudu gula biasa, bayangkan 10 sudu diletaknya? Pati Teh! Namun aku tidak menyalahkan dia, sememangnya dia maha tidak mengetahui, Gula Nano adalah pilihan terbaik bagi pendaki, ia ringan dan kompak. Kes hijack hatrick. Makan malam ni agak istimewa dengan lala masak lemak air tangan Poncho, bertambah-tambah nasi, syukur semua cukup makan.

DERITA SEMENTARA
Malam yang dingin tanpa angin di Lenweng membuat aku bersiapsiaga, berdasarkan pengalaman lebih 20 kali mendaki Ulu Sepat, suhu dan suasana begini memberi petanda kurang baik. Tepat jam 1 pagi hujan turun sederhana namun berpanjangan hingga ke cerah, kawasan dapur dan alas tidur kukuh tidak diganggu kebocoran hujan sebab telah aku perisaikan siap-siap, cuma aku tak dapat melelapkan mata malam itu dek kerana kesakitan akibat kecelakaan semalam. Ah! biarlah, tak usah dimanjakan, ada 4 hari lagi yang harus aku tempuh, mental dan fizikal harus kuat, kan mental yang disebut dulu? Pendakian ke Ulu Sepat bermula, dari landai selama 15 minit, membawa ke kecuraman selama 2 jam, terdapat sebatang pohon meranti tua yang berakar banir besarnya melebihi 13 orang pemeluk, sangat besar dan tesergam indah di sebelah kanan trek 20 minit dari kem. Pokok ini menjadi ikonik bagi pendakian kesini. Keadaan memacak ke Ulu Sepat membuatkan lututku sedikit bergetar, tulang belakang lari sedikit dari alignment-nya, tapak dilangkah rapat-rapat dek kerana beban yang berat, dalam derita aku bunuh semua prasangka menjadi minda yang bersih demi matlamat kali ini, dari posisi sweeper, perlahan memotong Ahmad, Zira, Kechik, Vassan kemudian Eypa dan Azrah yang berada di tengah, oh tidak! terlalu pacak untuk dihadap! kali ini lutut dah pun menembus tengkorak belakang, kegilaan ape kah ini? 

HIJAB SANG PECINTA
"aku nak tanya soalan personal sikit boleh?" Azrah menyapa dari belakang, sengaja dibuka topik yang terlalu sensitif pada aku, tapi dia seolah memahami penderitaan aku, mungkin perbualan serius ini mampu mengubat sedikit mental untuk aku terus menghadap pacak ke simpang Ulu Sepat, kami berbual panjang hingga menyingkap kisah lama, kadang terasa kecewa, kadang terasa indah, kadang terasa insaf, benar kata orang kalau luahkan sesuatu yang disimpan lama sedikit sebanyak buat kita lega dan tak terasa bebannya, dia seorang kawan gunung yang aku kenal lama dan percaya. Dalam tak sedar kami pun tiba di Simpang Ulu Sepat.



G7 PALING MUDA
Den dan Poncho dah siapkan flysheet, selaku orang depan mereka cukup memahami keperluan kami semua bila berkumpul dalam keadaan hujan dan angin. Kami menjamu makan tengahari dulu, ringkas dan terus ke puncak. Sepanjang laluannya yang mendatar sekali turun dan sekali menaik, ia menghidangkan kami permandangan hijau, lumut tebal pelbagai versi warna, hijau tua, hijau muda, kuning, oren, putih dan coklat, namun harus dibayar dengan lumpur yang mampu tenggelamkan kaki ke paras betis. Ini lah keunikan Ulu Sepat yang ramai pendaki tegar cukup fasih dengannya. Kami tiba di ketinggian 7,089 kaki iaitu G7 yang terakhir dalam ranking-nya, cukup mudah didaki jika hanya mendaki dia sahaja. Kami tak lama disini, bergambar, meraikan air kemenangan, kemudian berpatah balik ke simpang. Alhamdulillah gunung ke-4 kami tawan pada hari ke-5.


BAHAYA DALAM BAHAGIA
Kami cuba untuk teruskan pendakian ke Kem Sungai Retak, namun hajat tak menyebelahi kami, Kem Sungai Lepir cukup baik menyambut tetamunya, dalam renyai hujan, kaum Adam meneruskan tugas menyiapkan rumahtangga, 
kaum Hawa diberi lesen mandi dahulu, si Vassan yang buntu terus membuat hal sendiri, mungkin terlalu sakit atau jiwa terkacau dengan mental sahaja. 7.20 Malam Ahmad, Zira dan Kechik pun tiba perlahan, korang cukup tabah mengharung curam malam. Makan malam telah pun selesai, saat yang dinanti pun tiba, menyarung sleeping bag adalah suatu yang cukup indah didalam hutan, ditambah pula titisan hujan yang mendodoi, perut yang terisi menjadi ubat penenang buat tidur yang lena. Seperti biasa, aku orang terakhir memastikan semuanya berada di tempat tidur, sambil menunggu nasi masak untuk besok pagi, jauh disudut hati ada kerisauan yang melanda, manakan tidak kawasan yang popular dengan harimau kumbang, gajah dan beruang matahari ni membuat aku terjaga sekali sekala.



Kembali semula...
Di Kem Macha, aku masih tidak lena, otak terus mengimbau setiap liku perjalanan, hujan mula berhenti seketika, tapi angin tetap membadai, Insan disebelahku mula memacu dengkuran, disambut Den yang berada di hujung, kami sentiasa menjadi pagar benteng keselamatan buat kaum hawa. Aku cuba sekali lagi melenakan diri, namun minda tetap mengimbas kembali...

PERCUBAAN DEMI PERCUBAAN
Beg siap dikemas, kami berkumpul seperti biasa sebelum mula pendakian, Poncho agak emosi pagi ni, mungkin kerana terlalu letih atau ragam kami yang merunsingkan dia, tapi aku dapat meneka permainannya psikologi-nya, ia mesti. Kami mula turun dari Kem Sungai Lepir, melalui Puncak Orkid yang senantiasa lembab dan bertahi gajah, puncaknya cantik barangkali destinasi berbulan madu bagi gajah-gajah malaya. Sepanjang 2 jam menurun, giliran aku pula menyingkap tabir kisah, "macamana ko sekarang?" ringkas aku tujukan pada Azrah, bukanlah nak menyibuk, tapi sebab dah kenal maka perlulah aku mengambil berat, dia seorang yang tabah, kisah duka yang dia lalui buat aku terasa malu dengan kaum sejenisku, aku harap kata-kata semangat sedikit sebanyak membantu emosinya. Turun naik, turun naik terus melalui Puncak View dan Kem Sempadan, menjunam terus ke Kem Sungai Retak atau gelaran sesetengah pendaki Kem Maggi. Ya! Maggi lah makanan tengahari kami bersempena nama kem ini, berlaukkan sosej yang dahpun digoreng. Sebelum hujan mengundang parah, kami teruskan mendatar melalui jalan balak lama menuju ke destinasi bermalam hari ini di Kem Tengah, melintasi Kem Anak Peres yang dah "abandon" disebabkan Pokok Akar Raga yang menjadi gerbang kem selama ini rebah menyembah bumi, seolah berputus asa mempertahankan kedudukannya. Kemudian melintasi Sungai Peres, cuci kasut dan seluar yang berlumpur, kemudian kami teruskan lagi hingga berhenti rehat Maghrib di pertengahan jalan, posisi aku dari depan terus bertukar ke belakang bagi memantau kondisi peserta belakang, Ahmad keras berbicara, mengharap arahan aku untuk berhenti di kem yang terdekat. "Kechik, hantar telegram ke Poncho, kita tidur di Kem Sungai Rekom saja!" gentas aku, dan Kechik tanpa berlengah teruskan langkahnya sepantas kilat. Ini kerana mengambil kira kondisi Zira dan Eypa yang terlalu perit menanggung kuku mati.


HORMAT
Kami lalu di sebelah Kampung Rekom Atas, terdengar salakan anjing, bunyi penduduk tempatan berbual dan kami cuma membisu sambil langkah di atur sepi, bagai askar komando yang lalu ditepi kubu musuh, pijak ranting tak patah, tersepak batu tak mengadah, agak segan untuk mengganggu mereka dimalam hari. Tiba di sungai rekom, kami bermalam di beting pasir sebelah sungai, walaupun lokasi agak bahaya dalam musim hujan ni, kami tiada pilihan, flysheet dibuka, groundsheet dihampar, dapur di asap, yang lain terus mandi bersihkan diri setelah 3 hari tidak suci. Kondisi aku semakin merosot dengan tulang belakang mula terasa bengkak, lutut kanan turut bengkak dan luka-luka mula terasa pedih kerana basah hujan. Aku gagahkan jua!

JUNGLE BARISTA
Nasi lemak dan sambal ikan bilis menjadi jamuan pagi itu, Faizal menjamu kopi Istimewa yang diperah dari alat khas jenama Wacaco, menjadilah kopi expresso yang buat penggemar kopi seperti aku sedikit bersemangat pagi itu. Kami bersiap kemas, jam 8 pagi sudah ready sebab tahu perjalanan hari ini cukup jauh. Bermula dengan melintas Sungai Rekom selebar 20 kaki, separas pinggang, kami dahpun dibasahi sebelum hujan. Di Kampung Rekom Bawah, kami berkumpul sebentar sementara Poncho mendaftar masuk buku log di rumah Aleq adik Pak Abu ketua kampung ini. Dari kampung, kami mendaki selama 30 minit untuk sampai ke Kem Pakma, tapi sekadar lintas saja, melalui paya dan tanah mendap, kami tiba di Kem Tengah, sekadar mengambil air minum dan buang hajat, kami terus menelusuri lereng-lereng bukit, tebing curam dan akar banir sehingga ke Kem Tongkat Ali, 2 jam diambil untuk ke sini, laluan yang familiar pada aku ni buat aku tersenyum mengingatkan pelbagai memori bersama peserta-peserta lain sebelum ni, ada suka dan duka disini. Makan tengahari ringkas dengan Mee Maggi Asam Laksa. Objektif seterusnya adalah Kem Atuk atau Kem 01 iaitu selepas puncak Chamah. 


JARAK ANTARA KITA
Mendaki ke puncak Anak Chamah adalah yang ke-4 susah dalam 7 hari ni, hujan mula menyiram semesta alam, termasuklah kami, semakin tinggi semakin lebat, di Anak Chamah Poncho, Den, Faizal, Hassan tak tunggu lama, sejuk bukan gurauan disini, mereka terus ke depan, Vassan yang terpinga-pinga ditinggalkan disambut aku dengan sahutan, kami jalan berdua, Azrah dan Eypa berada di belakang kami dalam 10 minit, Ahmad, Zira dan Kechik jauh di belakang. Hujan lebat bukan kepalang, air mencurah-curah dari setiap laluan berlongkang, jalan berpeluk tubuh membantu badan "keep warm" dan jangan berhenti lama. Puncak 1, puncak 2, puncak 3, aku lapar, Vasaan menghulurkan nestum 3in1 buat isi perut, puncak ke 4 dilintas, Kem Cindrelella juga dilintas, di puncak 5 aku nampak Poncho berseorangan didalam dingin sejuk, oh rupanya semua dah berkumpul di Kem Macha, Den seperti biasa menyiapkan bumbung sementaranya sambil menjerang air panas, keadaan teramat sejuk, angin tanpa henti seolah aircond yang kehilangan alat kawalannya, embun menitis sekali sekala tanpa mengira siapa kau sebenarnya.



TELEGRAM
"Kay, Zira stop, dia Hypo!" Gertak Kechik yang tiba-tiba muncul sedang kami enak bergurau senda memanas badan. Aduh! ini bukan gurauan, kita harus lakukan sesuatu, Poncho dan Den terus mengambil botol air dan bawa sedikit makanan, jika jam 6 petang mereka tak muncul tiba kita bermalam disini. Nyata keputusan itu muktamad, kami memperluaskan kem itu dengan menebas beberapa ruang yang boleh dibuka asal muat kami kesebelasan orang. Zira senyum tiba di kem, dari anak mata dan lenggok badan, aku dapat membaca jauh disudut hatinya berasa malu dan pasrah, ya aku memahaminya, malah kami semua mengetahuinya, kami tak perlukan ucapan maaf segunung tinggi, cukuplah Zira enjoy dengan gunung yang kita daki, kita disini sekeluarga, saling melengkapi. 

Ya, sekarang kami berada disini....aku terlena.

MALANG TIDAK BERBAU
Tidak lama melelapkan mata, terjaga aku bila si Den sekali sekala bangun membetulkan flysheet, dalam kesamaran cahaya, aku bingkas bangun membuka lampu, "Ya Allah.....!" sentak hatiku bila melihat seluruh beg baju keringku bertakung air, betapa hancur luluh hati ini, perlahan aku uruskan semuanya dengan memerah baju-baju dan seluar, rupanya terdapat takungan kecil di bumbung yang terbocor menitis terus ke set pakaianku, dimana silapnya? aku terlupa nak bungkus dalam plastik, mungkin terlalu sibuk nak masak tadi. Aduh! malang sungguh, mungkin ada hikmahnya. "Tuhan sengaja...menduga kita...dimana kesabaran manusia..." lagu Nash bermain diminda setelah di acah oleh Eypa sewaktu trek semalam.

BUMI CHAMAH MENANGIS
Pagi mula menyapa dengan cahaya suram berpunca dari kemendungan melampau, awan masih mengandung hujan barangkali kesedihan aku turut dirasai mereka, cadangan bertolak jam 8 pagi bukanlah idea yang bernas bila ia semakin lebat seolah-olah Chamah sedang menangis, mungkinkah kerana kami? mungkinkah kerana sahabatnya di Merapoh diperkosa? #savemerapoh menjadi tular diminda aku sebentar. Jam 10.30 pagi selesai berkemas, hari yang ke-8 bagi perjalanan yang jauh ini membuat semua pesertaku sebati dengan cuaca begini. "Biar sampai lambat jangan tak sampai langsung..." irama dendangan kumpulan Putra itu mengiring semangat kami untuk terus berjuang, Puncak Gunung Chamah ditawan sejam dari kem. Kami berada di ketinggian 7,210 kaki dari paras laut, puncak yang sebenar kecil dari puncak yang mempunyai batu aras dan luas, kami bergambar kenangan dan terus melintasi Kem Puncak Chamah yang didiami Tebuan Tanah, langkah perlahan di atur menyusur permatang. Ini kali pertama aku menjejak kaki disebelah belakang Chamah, laluannya sedikit sempit dan banyak menunduk, bonsai, lumut dan periuk kera bersahabat disini. Disinilah wujudnya periuk-periuk kera sebesar periuk sebenar, memang terlalu unik dan sangat cantik. 




LEMBAH RHU
Perjalanan menurun ini mengambil masa 3 jam hingga ke Kem Atok, rehat seketika disini, kami berpeluang melihat Hutan Pine atau taburan spesis Pokok Rhu ditengah-tengah lembah, lantai yang dilitupi daun kon kering, bersih dan kemas bentuk laluannya, ada kesan seekor gajah yang bersendirian hidup disini berdasarkan saiz tahi dan tapaknya, mungkin dia melantik dirinya menjadi penghulu disini setelah terpisah dari kawanannya, mungkin kerana di halau atau kena tinggal sebab lambat packing. Teruja melihat keindahan ini, hilang segala penat dan rungutan selama seminggu mendaki ni, sungai-sungai dilintas 5 6 kali, hulu Sungai Bertak berada di lembah yang amat rata, sungai yang besar ini tetap tinggi posisinya jika nak dibandingkan dengan sungai , kami tidak berhenti lama, terus menghadap pacak terakhir untuk ke Gunung Shoid walau hari mulai senja.




02
Waktu menunjukkan tepat 8malam, sekali lagi jadual di hijack, nampak gaya 9 hari jugak kita dihutan, racun Poncho berjaya meresap bila semua bersetuju bermalam di Kem 02 yang berada 30minit sebelum puncak Shoid, malam ni malam terakhir kami di hutan dan mungkin terakhir kami bersama. Selesai makan malam, kami berbual-bual panjang sambil bergurau, ada yang jadi ulat beluncas malam tu, sambil Zira membuka klinik segeranya mengubat luka dan iritasi pesakit-pesakitnya.


PERJUANGAN TERAKHIR
Pagi itu angin kuat, tapi tidak berapa terasa kerana pilihan Kem 02 cukup strategik, terlindung dari arah mata angin, namun kedinginan hujan tetap dirasai. "Ayuh anak muda!" seruan itu dilaung-laung agar minda terus panas menguatkan mental. Senaman patung angin menjadi hiburan disaat diri dilukai baju basah dan sejuk yang menyucuk. 35 Minit menghadap hutan buluh halus dan sedikit "mossy" kami menjejak kaki ke puncak ke-6, puncak terakhir kami, Gunung Shoid setinggi 6,388 kaki. Sujud syukur, doa ku pohon, Alhamdulillah atas rezeki yang Kau beri, sesungguhnya Kau yang maha pemurah lagi maha pemberi, impianku terlaksana jua. Terima kasih semua yang mendorong! Kek buah dan Air Excel tanda kejayaan di rai bersama, gambar kenangan turut terabadi, ketinggian dari GPS garmin 64s, Jam Suunto Vector dan Casio Pro-trek direkodkan untuk di kaji oleh Den selaku staff Jupem. Kami turun dengan hati yang girang, 2 jam yang sememangnya curam, namun apa yang nak dipeduli bila jiwa sudah berada di rumah sedang jasad yang menghadap semua ini. Kami turun hingga ke Pintu Rimba iaitu perantara jalan hutan dan jalan balak lama.


 

HUJAN PENUTUP TIRAI
Saat berada di trek balak lama sejauh 2 jam setengah, permandangan terhenti seketika bila terpandang dinding batu Gunung Shoid dan permandangan air terjun yang berada di banjarannya, kami berhenti di tengah-tengah laluan berdekatan sungai, makan tengahari sebentar dalam renyai hujan kemudian teruskan berjalan. Jam 7.20 pm kami berada di atas Kampung Tembaga, sebuah kampung hujung di dalam Pos Gob. Sementara menunggu yang dibelakang akibat terpisah jauh, Poncho dan Hassan berpatah balik untuk resque, Aku dan Den mengangkut Beg mereka. Menurut penduduk asli, Heri, driver 4X4 telahpun sampai semalam, cuma dia tersangkut dan menunggu di dewan kampung. Ini bermakna, kami tiada pilihan selain bermalam lagi bersama. Leganya rasa bila sampai disini. 20 Minit kemudian yang lain semua sampai, Alhamdulillah mereka tak jauh pun dari kami, dalam hujan yang masih turun bagai menutup tirai opera anak muda ini. Pakaianku habis kebasahan, tiada lagi yang kering melainkan aku keringkan sendiri dibadan aku, mujur Hassan menghulur baju Drone size M yang muat-muat dipakai aku, seluar tight aku biarkan kering dibadan, pakaian basah aku jemur di ampaian.







TAMADUN
kini segalanya terasa indah, 9 hari dan 9 malam telah kita bersama, nasi briyani dan kari ikan masin menjadi makanan kejayaan malam ni. Kechik dan Hassan seperti biasa menjadi "tong sampah" menghabiskan semua makanan yang ada. Malam di isi dengan menjemur pakaian dan memunggah alatan-alatan yang telah basah. Dewan orang ramai Kampung Tembaga ni amat luas, boleh memuatkan lebih 40 orang jika ada upacara tempatan, berdinding dan berlantaikan buluh, berbumbungkan daun bertam, sangat selesa, syukur masih ada tempat berteduh malam ni. Hujan masih meriah bunyinya diluar, Den, Ahmad, Poncho, Faizal melayani wayang pacak menerusi Samsung S8 milik Den dihubungkan dengan Speaker milik Poncho melalui kecanggihan bluetooth. Kechik dan Vassan masing-masing masih mengurus alatan sendiri, Hassan memilih untuk lelapkan diri, Azrah, Eypa dan Zira barangkali bergosip sambil mengubat luka-luka di kaki. Aku lebih tertarik dengan pilihan Hassan. Tidur.




MISI TERAKHIR
Bubur nasi dan Kopi adalah teman yang setia dipagi hari ni, Hujan masih tidak henti-henti, adakah Bumi Shoid juga merasa tempias tangisan dari Chamah? Ah! tidak peduli dah semua itu, yang penting kita keluar hari ni. Heri mula mulas kunci enjin toyota hilux 2.5cc commonrail-nya, beg dibungkus satu persatu, di ikat bersama di dalam trak. Aku, Hassan, Faizal, Kechik, Ahmad, Arzah, Eypa dan Zira berjalan kaki menunggu di simpang jalan. Misi terakhir hari ni sebelum keluar, Den, Poncho dan Vassan naik bersama Heri menuju ke Dewan Komuniti Kampung Gob untuk dapatkan liputan satelit internet dengan bayaran rm3 bagi sebutir password. 


WHATSAPP
  "01/01, 11:59am, salam.Diza, kami dah selamat keluar semalam. Alhamdulillah semuanya selamat. Takde injury.
Kami kat Pos Gob sekarang. kat sini ada wifi. jap lagi kami akan try lagi keluar dengan 4x4. kami dah try keluar semalam tapi tak k
Lepas. hari ni baru ada cuaca cerah sikit. semalam hujan 24 jam. semalam 4x4 dah try keluar kosong (driver dan co-pilot sahaja) tapi tak lepas juga. berita baiknya kami dapat tau ada jalan alternatif. kami akan keluar melalui jalan tu. InsyaAllah nanti kami update lagi. buat masa ni kami semua cukup makan dan sihat semuanya. - Poncho"




TARIAN TAK SENGAJA 2
Setelah sejam menunggu, Hilux putih muncul di depan jalan, kami meluru pantas memandangkan masa semakin suntuk. 4X4 atau panggilan popularnya "powil" memacu melalui jalan balak yang basah, berlumpur dan berlopak, sekali sekala dihumban kekiri kekanan, tarian kali ini lebih tak sengaja dengan permukaan jalan yang 3 kali ganda lebih teruk dari jalan sebelah Pos Dakoh.

GOB RIM
Tibalah di satu tempat sebelah sungai dan menghadap bukit 30 minit bergolek dari Gob, kami berhempas pulas menolak powil yang tersangkut dek kerana tanah licin dan berlongkang tinggi, kami tiada pilihan. Walau pelbagai cara kami lakukan, ia tetap sangkut ditempat sama. Perut mula lapar, tenaga berkurangan. Aku dan Ahmad menuju ke matau balak sebelah atas bukit, menurut Heri ada jentera yang mungkin boleh membantu kita, maka aku mengambil langkah kiri dan Ahmad langkah kanan menyelongkar setiap jentera jengkaut dan jentolak yang ada asalkan kenderaannya itu berantai. "Grengggg!! Grengggg!! GrengGGGG!!!" terdengar enjin yang digodam Ahmad berjaya dihidupkan, "Yess! hijack lagi!" spontan aku beraksi. Kebetulan Kechik ada pengalaman semasa bersama arwah bapanya kerja di pembalakan, maka amanat diberi padanya unt memandu jengkaut. Ketibaan kami di lokasi powil sangkut dirai bagaikan sebuah robot pacific rim yang datang menyelamatkan mangsa. Alhamdulillah powil berjaya di towing ke atas matau, jengkaut diletakkan semula di tempat asal. Kechik jadi hero of the day, namun di sebalik ni Ahmad yang berusaha mencarinya, bak kata Azrah dan Eypa, semua kita adalah hero pada hari ni, kerjasama kita mantap dengan peranan masing-masing. Powil terus bergolek walau sekali sekala terpaksa turun menolak, itulah lumrahnya naik powil.





LAPAR
Selepas hampir 8 jam mengharung sejuk dibelakang powil, 8.40 malam kami menjejak jalan tar, lembutnya alahai sungguh indah, namun punggung dah pun kematu dengan hentakan batuan jalan balak. Tiba di rumah Abang Joe, lokasi kereta disimpan, hati terasa sayu, bukan tak gembira, tapi mungkinkah kenangan manis ini tamat disini? Oh aku mula terngiang kenangan 9 hari dihutan. Selesai sucikan diri, kami dijamu bihun goreng adunan isteri Abang Joe yang terlalu sedap hingga bertambah-tambah makan semuanya, ini lah makan tengahari kami. Kami meminta diri, selesai bersalaman, kami ke KFC Gua Musang pula, kali ini barulah makan malam. Disana aku memilih makan bersama Vassan, memandangkan dia duduk bersendirian, kaum hawa di sebelah kaum adam disudut bertentangan, aku berbual panjang dengannya, menegur sedikit dengan madah indah, berharap dia menerima dengan hati yang terbuka. Kita sama warna anak mata tapi berlainan warna hati, sepanjang 10 hari bersama pasti dia pelajari banyak perkara. Sempat juga berbincang dengan Poncho rencana akan datang. Jam 12 malam kami menuju pulang. 



JODOH
Destinasi terakhir adalah dirumah aku, Felda Lurah Bilut, setelah hampir 2 jam 40 minit bertarung mata, maka kami putuskan untuk bersama Lagi Sekali malam ni, jodoh kita cukup kuat, kesebelasan sahabat ini disatukan sebumbung lagi sekali, yang lelaki berehat diruang tamu, yang wanita di bilik, sebelum tidur kami berbual-bual sambil Poncho menceritakan kisah-kisah yang berlaku di setiap kem persinggahan kami tempoh hari. Ada yang meremang bulu roma, ada yang kelakar dan ada yang fakta. Den dah pun berlabuh mimpi. Azan subuh berkumandang, "packing! packing!" usikku pada mereka yang masih di laman, ada yang masih nyenyak agaknya, aku terus menyambar motor kapcaiku unt membeli sedikit sarapan. Waktu membeli nasi lemak, baru aku perasan, kami ada 11 orang dan kami berada di hari ke-11, ini lah dia kesebelasan utama. 

AKHIR KATA
Sebelum pulang, masing-masing mengambil peluang mencuci beg dan pakaian kotor tanah merah akibat berperang di atas powil semalam. 
1. Alhamdulillah! syukur seribu rahmat atas kejayaan ni, atas jodoh ini, hanya dengan Izin-Mu dapat kami berkumpul sekeluarga hari ini, 
2. Terima kasih! kepada saudaraku Poncho yang mengotakan janji bawa kami ke TNT, Ahmad yang berkorban jiwa dan raga menjaga pesertaku,
3. Tahniah! kepada semua sahabat-sahabat seperjuanganku yang setia bersama dari awal hingga akhir trip, kerjasama kalian sangat mantap, ukhuwah kita utuh, semangat korang aku hormat, dan sokongan korang paling aku hargai.
4. Maafkan aku andai sebarang kata-kata dan tingkahlaku 11 hari ini mengguris hati korang, maafkan aku andai masakan tidak sesedap yang korang pernah makan, maafkan aku jika pengurusanku kurang mantap.
5. Semoga kita bertemu lagi, aku harap sangat jodoh ini berpanjangan.
Sedih juga bila melambai kepada yang pulang, "separuh jiwaku...pergi, memang indah semua..." lagu Anang berlegar, tapi setakat tu je lah rentak liriknya, aku akan merindui sahabat TNT aku ni sampai bila-bila, kita ada suka duka bersama, we are Blood Brother!

(babak selepas credit macam dalam cerita marvel)

suatu tempat tidak diketahui, kami bertemu...
Den "kita nak masuk dari mana dulu ni?"
Aku "dari Shoid, kita lalu Siring, Kasai, kita keluar Noring!"
TAMAT

by : Musang Tampan
22 Disember 2017 - 1 Januari 2018