TNT Lower 2023 - Episod 4

BIJAKSANA SEORANG MALIM

Jam menunjukkan pukul 5.10 pagi, Aku masih mengalami insomnia yang teruk, otak terus menyambung imbas semula.

Peristiwa hari keempat,
Ahad, 12 November 2023.

"Iqbal Basri!"
"Azrah Aziz!"
"Zulkifli!"
"Nurshahidah!"
"Muhammad Qaiyum"
    Kedengaran nama penuh diseru, seawal jam 4 pagi, Den dah mula kejut kami bangun memecah kesunyian hening pagi.

"Kita ni jauh lagi kome oi!"
    Desaknya dalam nada seloroh tapi tegas. Kami bingkas bangun, ada yg terus membungkus simpan sleeping bag, ada yg terus keluar dari banglow dan mengemas beg. Aku terus menyiapkan air panas unt santapan awal pagi. Pagi ini tiada makanan berat, kami hanya alas perut dengan makanan sendiri, dan target "Brunch" di Kem Cannon. Jam 6.40 pagi semua dah mula berjalan sejurus selepas Poncho memberi taklimat ringkas perjalanan hari ini. Ringkasnya "hari ini jauuuuuhhhhhh...." keluh poncho yg kedengaran sayu sambil mengukir senyuman kelat. Yang lain hanya tersengih dan mula membahan diri sendiri. Target kita hari ini adalah Kem Sungai Pelus yang boleh dikatakan amat jauh jaraknya berbanding hari-hari sebelum ini.

    Sepanjang perjalanan dari Kem Panas kami mendapati ada kesan tinggalan tanda pemburu haram yg berlegar lebih kurang sejam dua dihadapan kami. Keyakinan ini muncul atas dasar pengalaman sebelum ini berhadapan dengan mereka di trek hutan sebelah utara. 

    Jam 7.47 pagi, geng depan pun tiba di Kem New Zealand, bermula dari situ kami akan mula menggunakan laluan bekas jalan balak lama. Kem NZ ni dibuka semasa pembukaan laluan V3 dahulu, namun mengikut maklumat orang kampung, kawasan ini dijadikan laluan antara Kampung OA dan laluan memburu. 

    Kawasannya luas dipenuhi pohon resam, dikelilingi 2 tebing tinggi tidak berteres, menjadikan lokasi ini seolah-olah berada didalam 1 parit besar. Pohon resam yang tumbuh sepanjang laluan ini kelihatan sama sejauh mata memandang, ditambah latar belakang awan dan langit cerah menjadikan suasana disini seperti berada di New Zealand. Kenapa NZ? Kan daun Paku Resam dan daun Paku Perak NZ tu seakan sama bentuknya, namun mereka berbeza keluarga, yang Malaysia  Gleicheniacee manakala NZ pula Cyatheaceae. 


    Jadi tahulah aku kenapa beriya sangat Poncho mengajak tidur di Kem Panas semalam, inilah tujuannya. Jika teruskan ke Kem Cannon semalam dimalam hari, mungkin kami tak dapat suasana seindah pagi ni. Sebagai seorang malim gunung professional, kita kena bijak menyusun strategi untuk mencapai objektif trip disamping memberi kepuasan kpd pendaki. "Jadi malim ni bukan sekadar tunjuk jalan, tapi kena bijak! Terima Kasih brader P!" Sengaja aku beri kenyataan secara umum di Kem Cannon unt didengar semua supaya mereka berfikir dan faham kenapa. 

    Di Kem Cannon selepas 40 minit berjalan, kami berhenti masak makan tengahari dan tapau makan malam disini selama 2 jam. Jarak geng depan dan belakang tidak jauh menjadikan suasana di kem ini meriah diselangi gurau senda bila semua ada, hari ke empat berdasarkan kajian aku, hari yg semua dah mula serasi dan tidak kekok bergurau kasar. Menu brunch kali ini Nasi Putih dan Sambal Ayam, manakala tapau malam pula Nasi Putih dan Daging Dendeng yg telah dipek individual. Ini salah satu kemudahan yg Adiza sediakan kali ini, ramai yang memuji keenakkannya dan aku sendiri mengharap pek daging dendeng ini dapat dijadikan produk pendaki gunung suatu hari nanti. Bagi yg tidak makan ayam dan daging, Adiza sediakan Sambal Telur Rebus juga didalam pek individual.

Kami mula mengorak langkah, oleh kerana makan malam dah pun selesai diserahkan, aku mengambil posisi belakang semula menukar shift dgn Kama. Pada aku, adilnya orang lelaki yg menjaga dibelakang perlu bertukar-tukar supaya semua merasa jadi sweeper. Aku jalan bersama Megu, Izer sambil mendengar celoteh Rahman di sepanjang kawasan ini sambil menemani rakan yg perlahan dihadapan. Kisah yg dicerita Rahman dah macam drama petang TV3 pun ada. Selang 30 minit jalan, kami melintasi Simpang Tiga Kuar-Surian yg menhubungkan laluan TNT Lower ini ke Kampung Kasang, salah satu jalan keluar kecemasan yang pertama. 40 Minit kemudian yang depan tiba di helipad kedua, kami menyusul tapi berehat sebentar dibahagian atas iaitu kawasan kem Jupem sambil menunggu yang dibawah kawasan helipad bergerak. Pada asalnya kami ingat hanya kawasan kami yang lapang, rupanya dibawah ada helipad. 

    Tidak jauh dari sini terdapat sebuah kem dipanggil Kem Bedak selepas 10 minit turun, kami cuma menyinggah pasang signboard dan disini ada sumber air yang sederhana besar untuk kami topup bekalan air minum.


    Mendaki semula dalam 40 minit, sebelum kami bertemu Puncak 1364 M, ada satu lagi helipad yang ketiga, kami dibelakang sempat berehat seketika mendapatkan rangkaian telco untuk update status kami dan melihat info2 terbaru diluar. Aku sempat memberi hint kpd Adiza di luar yang kami agak perlahan dan masih dalam keadaan baik supaya dia dapat bersedia menjawab pertanyaan ahli keluarga peserta sekiranya berlaku apa2 emergency call. Adiza merangkap admin yg monitor dari luar sepanjang trip ini. Nombor telephone nya juga diberi kpd ahli keluarga semua peserta yang terlibat, sama seperti amalan kami sebelum2 ini dilain trip sekalipun. Walaupun jam menunjukkan pukul 4.00 petang, kami sempat mengambil gambar panorama Gunung Surian di kawasan helipad kerana langit agak cerah petang itu.

    Kami teruskan mendaki ke Puncak 1364 M, untuk menuju kesini, perlu melalui satu permatang panjang menaik sahaja dari Kem Bedak tadi, setelah itu perjalanan roller coaster naik turun sehingga ke Puncak 1400 M, bak kata Pedot, seolah berjalan dari permatang ke langit!. Terasa jauh tak habis-habis tapi ketinggian tak beza banyak. Tidak cukup dengan itu, laluan yg keadaannya lebih kurang sama perlu di hadap hingga ke Kem Itali. Mana tak jauh, dari New Zealand jalan kaki ke Itali. Lebih mengharukan apabila hujan mulai turun perlahan.


    Aku tiba di Itali jam 8.50 malam dalam kabasahan hujan, kawasan ini bekas tinggalan pondok Jupem, ada helipad ke empat disini. Den berada di lokasi di pintu masuk menggunakan rangka pondok terbiar, kelebihan yg ada ini diambil unt memasang bumbung sahaja dan menggunakan kayu2 pangkin yg telah sedia ada unt dibuat inapan malam ini. Bersamanya dibawah satu bumbung adalah Kama, Iqbal dan Amar. Banglow utama lelaki dan wanita kelihatan terbina disudut hujung selepas helipad. Dibahagian hujung sekali Sepul dengan hammock nya. 

    Ditengah helipad ada 2 khemah masing2 ialah Jennifer dan Ruey Peng. Disudut kiri kehadapan sedikit Pedot dah pun buka flysheet, Megu dan Rahman menumpang bersama. Aku terus menuju ke banglow lelaki unt mengadakan mesyuarat tergempar dgn poncho berkenaan status terkini memandangkan target asal adalah Kem Sungai Pelus. Dipendekkan cerita aku mencadangkan tempoh pendakian kami ditambah sehari lagi menjadikan jumlahnya 7 hari 6 malam. Aku bertanya dari seorang ke seorang berkenaan hal ini, semua setuju kecuali 3 orang bersyarat iaitu perlu berhubung dengan pihak luar dahulu. Aku lega sedikit kerana sejak awal perncangan trip ini aku telah nasihatkan mereka untuk standby sehari lebih untuk hari kecemasan.

    Selesai mesyuarat aku kembali ke tempat Den, kelihatan sekujur tubuh membaring di atas pelantar meja kayu di tutup plastik bumbung, Ya Allah, si Karo yg terbaring rupanya. Terus aku kejutkan dia unt ajak buka ruang tidur bersama disebelah Pedot.

    Mereka di depan sampai agak awal lebih kurang jam 6.00 petang, namun memutuskan untuk lepak sini kerana terputus jauh dengan geng belakang. Seawal sampai tadi, diorang dah pun pickup air siap2 dari sumber air bawah kem ini, jauhnya lebih jauh dari Kem Cerek, curamnya juga lebih dan sangat teknikal, ini kerana kawasan laluan ke air telah ditutup oleh pokok2 yg ditebang oleh Jupem sebelum ini lantas menyukarkan pergerakan ke arah lokasi air.

    Malam itu, aku jamu mereka air panas sahaja, sambil aku siapkan tempat tidur, seorang demi seorang datang serahkan bungkusan Mi Maggi Kari. Ada juga yg mengeluarkan ration untuk tengahari esoknya. Mi kari adalah menu esok pagi yang telah diubah secara drastik, bukan ini sahaja malah beberap menu terpaksa di shuffle semula. Sistem yg tadi nampak licin kini dah mula menunjukkan tanda2 kasar. Tapi masih terkawal kerana tidak perlu keluar dan campur semua barang, cuma barangan ration telah ditukar milik sejak semalam. Beberapa orang yg perlahan dan kurang sihat telah dilepaskan dari membawa ration lebih bagi meringankan beban dan mempercepatkan pergerakan.

    Aku lihat Den dah pun terbaring kaku, nampaknya sakit tekak yg di alami sejak 2 3 harini tidak tertahan, hingga terpaksa menelan ubat menyebabkan dia lena awal malam tu. Kami yang lelaki mencuri sedikit masa malam tu berbual bergurau senda 'men to men' di tempat Den, riuh sekejap.

    Sebelum berehat, aku mengajak Rahman duduk bersama kerana ruang yg aku dan Karo guna masih ada kosong, tapi Rahman menolak dengan alasan mahu baring di tempat Karo tadi di atas pelantar meja kayu, nampak selesa katanya, namun cubaannya gagal dan hampir membunuh diri. Terus lari mendapatkan perlindungan di khemah Pedot barangkali segan mengganggu kami. Kawasan Kem Itali ini berangin dan suhu nya sejuk kerana berada di permatang terbuka.

(Bersambung)